Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) merupakan undang-undang tahanan pencegahan. Di dalam akta ini, sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangka mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya.
Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun dengan kebenaran Menteri Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.
Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa Menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada Akta ini. Pada masa itu, mahkamah hanya boleh melihat semula perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 sebenarnya dirangka oleh R.H. Hickling. Ia kemudiannya dijadikan undang-undang pada tahun 1960. Semasa akta itu mula digunakan, ia membenarkan kajian semula, akan tetapi sejak itu, ISA telah dipinda sebanyak lebih daripada 20 kali dan peruntukan ini telah dikeluarkan.
Kuasa mutlak telah diberikan kepada Menteri Dalam Negeri bagi membolehkan beliau menahan sesiapa pun tanpa merujuk kepada mahkamah. Sebaliknya tahanan mempunyai hak representasi di hadapan Lembaga Penasihat yang diwujudkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Seksyen-seksyen berkaitan Akta ini adalah seperti berikut:
Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960: "Mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap, dan menahan sementara menunggu penyiasatan, mana-mana orang yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ada alasan yang akan mewajarkan penahanannya di bawah seksyen 8; dan bahawa dia telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak mengikut apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya."
Sek 8. Kuasa untuk memerintahkan penahanan atau sekatan orang "(1) Jika Menteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang perlu dengan tujuan untuk mencegahnya daripada bertindak dengan apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya, Menteri boleh membuat suatu perintah (kemudian daripada ini disebut perintah tahanan) yang mengarahkan supaya orang itu ditahan bagi apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun"
Seseorang yang ditahan di
bawah ISA semasa 60 hari pertama tidak dibenarkan berkomunikasi dengan dunia
luar. Tambahan pula, peguam dan ahli keluarga tidak dibenarkan melawat orang
yang ditahan semasa tempoh awal ini. Jika satu perintah penahanan dua tahun
ditandatangani, orang yang ditahan akan dibawa ke Pusat Tahanan Kamunting untuk
tempoh yang ditetapkan, dan ahli keluarga lazimnya dibenarkan melawat semasa
tempoh ini. Jika tidak, orang yang ditahan akan dibebaskan.
Pada malam 15 September 2011, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa ISA dimansuhkan terus bersama-sama dengan Akta Buang Negeri 1959 dan digantikan dengan undang-undang baru yang lebih bersesuaian dengan hak asasi manusia dan lebih efektif dalam menandingi masalah keganasan.
No comments:
Post a Comment