Thursday, 12 March 2015

Kalau Kita Tidak Mahu Menghormati Undang2 Kita, Siapa Lagi?



Sejak kebelakangan ini, Majlis Peguam Malaysia kelihatannya begitu lantang memperjuangkan sesuatu isu yg mereka fikir layak bagi mereka memperjuangkannya. Namun terdapat ramai yg tidak berpuas hati atas kelantangan ini dan mendakwa Majlis Peguam telah tersasar daripada matlamat penubuhannya. Hal yg demikian bukanlah perkara baharu tetapi telah diperhatikan bahawa Majlis Peguam semakin hari semakin lantang mengenepikan suara akar umbi.

Majlis Peguam Malaysia sudah menyimpang, atas tindakan yg diambil mereka, khususnya di dalam mengkritik penghakiman mahkamah. Amat jelas Majlis Peguam mengkritik penghakiman mahkamah tanpa sebarang hormat dengan pelbagai dakwaan walaupun diakui mereka ketika itu masih belum membaca penghakiman tersebut. Kepantasan mengkritik sesuatu penghakiman ini menzahirkan sikap berat sebelah Majlis Peguam di dalam menggarap pandangan mereka.

Dalam kes penyalahgunaan kalimah Allah umpamanya Majlis Peguam secara terang2an mengambil pendirian mengherdik penghakiman mahkamah dan terkini di dalam kes Anwar Ibrahim juga kenyataan yg dibuat amat jelas amat mendukacitakan. Apa yg saya tulis ini bukan isu politik, tetapi lebih kepada kedaulatan undang2 dan juga kebebasan mahkamah.

Ketepikanlah figura yg terlibat di dalam kes tersebut tetapi sesuatu penghakiman itu perlulah dihormati walaupun mungkin ia tidak menyebelahi pihak yg kita sokong.

Memang bukanlah menjadi suatu kesalahan untuk tidak bersetuju dengan sesuatu penghakiman tetapi ia hendaklah dibuat dengan penuh berhati2 dan pilihan perkataannya hendaklah lebih berhemah. Menuduh mahkamah tanpa bukti yg kukuh adalah tindakan yg amat tidak wajar. Ini adalah kerana mahkamah sendiri tidak dapat mempertahankan diri mereka daripada tohmahan sebegitu.

Dalam isu berkaitan agama Islam pula amat jelas Majlis Peguam mengenepikan pandangan umat Islam arus perdana dengan membuat parameter baharu berdasarkan hak asasi manusia dan konvensyen antarabangsa. Walhal saya yakin Majlis Peguam sendiri amat arif konvensyen antarabangsa bukanlah merupakan salah satu daripada sumber perundangan negara.

Majlis Peguam pula sentiasa menggarap sesuatu pandangan bertunjangkan hak asasi manusia walaupun ia bertentangan dengan norma tempatan dan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Majlis Peguam masih menjaja ke sana ke mari bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular walaupun perkataan sekular itu sendiri tidak wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kita memahami pendirian penandatangan G100 yg mendesak Presiden Majlis Peguam menarik balik kenyataan beliau menempelak Mahkamah Persekutuan. Dimaklumkan bahawa terdapat usul yg akan dibentangkan oleh G100 ini pada Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Peguam yang dijadualkan pada 14 Mac ini. Kita menyokong penuh usul ini dan menyarankan peguam2, khususnya peguam Muslim agar menghadiri mesyuarat agung tahunan tersebut dan menyokong usul yg dikemukakan.

Kita mendoakan agar usul ini diterima ataupun jika ia gagal sekurang2nya ia membuka mata kepada semua pihak, khususnya Majlis Peguam agar tidak sewenang2 membuat pendirian tanpa mendapat mandat daripada ahli2.

Usaha ini mestilah diteruskan sehinggalah Majlis Peguam lebih menghormati institusi mahkamah, kedudukan agama Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan serta keluhuran Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Mereka tidak boleh mengenepikan pandangan peguam2, khususnya peguam Muslim dan Melayu.

Apa yg membimbangkan trend peguam Muslim yg masih ramai bersikap acuh tidak acuh serta tidak prihatin dengan apa yg berlaku. Mungkin masih ramai yg hanya memikirkan kocek masing2 sehingga perkara yg lebih besar dikesampingkan.

Sudah sampai masanya para peguam menzahirkan kedukacitaan terhadap tindakan diambil Majlis Peguam serta memberi ingatan kepada pimpinan baharu yg bakal mengambil alih tampuk kepimpinan Majlis Peguam kelak agar lebih sensitif terhadap umat Islam khususnya dan kebebasan badan kehakiman.

Kita percaya tindakan G100 ini adalah penutup bab permulaan penentangan ahli badan peguam ini dalam pelbagai isu yg melibatkan Perlembagaan Persekutuan, agama Islam, kebebasan kehakiman dan banyak lagi isu lain.

Majlis Peguam ditubuhkan melalui Akta Profesyen Undang-Undang 1976 dengan diperincikan objektif dan fungsinya. Bertindaklah mengikut akta yang menubuhkan Majlis Peguam tersebut.

No comments:

Post a Comment