Hari ini, genap sebulan sudah GST dilaksanakan dinegara kita ini bermula 1 April lalu. Usaha kerajaan untuk memperkenalkan Good and Service Tax (GST) atau Value Added Tax (VAT) ini merupakan salah satu usaha untuk menjana pendapatan negara dengan lebih teratur dan efektif.
Perancis merupakan negara yang pertama melaksanakan GST pada 1954. Sistem percukaian ini dikatakan antara yg terbaik dan sehingga kini, sebanyak 146 negara telah melaksanakan GST.
Semua negara-negara Asean telah melaksanakan GST kecuali Malaysia, Brunei dan Myanmar . Menariknya, Indonesia dan Filipina lebih awal memperkenalkan GST pada tahun 80-an, lebih awal berbanding Singapura pada 1994.
Pengenalan GST melalui pengurusan yang baik akan memberi impak besar kepada pendapatan negara melalui peningkatan kadar pematuhan cukai. Namun persoalannya, dalam konteks semasa dan selepas sebulan ia dilaksanakan, apakah kesannya terhadap rakyat dan negara?
Tun Dr.Mahathir pernah berkata, bila pegawai kerajaan sendiri tidak faham tentang GST, tentang pelaksanaan dan impak kesannya, maka kerajaan harus memikirkan semula perkara ini.
Pada pandangan anda, apakah Tun menolak GST kerana sistem percukaian itu sendiri? Pada pemahaman saya, apa yang Tun mahu katakan adalah, sebelum memperkenalkan sesuatu yang memberi kesan yang besar kepada kehidupan rakyat, pastikan terlebih dahulu jentera kerajaan sudah mahir dan mampu melaksanakannya sebaik mungkin.
Selama sebulan GST diperkenalkan, apakah yang dapat kita lihat setakat ini? Contoh paling ketara (walaupun kecil nilainya) adalah kad prepaid telco .... yang sehingga kini masih dalam siri perbincangan yang menemui jalan buntu.
Sama seperti Tun, kita tidak pertikaikan GST itu sendiri tapi lebih kepada persediaan pegawai2 kerajaan dalam berdepan dengan GST. Apa yang dapat kita lihat sekarang ialah, kerajaan sepertinya belum benar-benar bersedia dan buat sambil lewa (kerana persiapan tak cukup).
Sedangkan pihak kerajaan sendiri yang umum mahu wujudkan GST, kerajaan sendiri yang set tarikhnya 1 April lalu, jadi seharusnya tidak timbul masalah tidak cukup pegawai (merujuk kepada luahan Hasan Malik yang KPDNKK tidak cukup pegawai pemantau).
Bagi rakyat, samada mereka faham atau tidak tentang GST, apa yang penting adalah harga tidak berubah. Itu saja ... sebab gaji rakyat tidak naik.
Kalau kerajaan dah kata barang tidak akan naik, malah akan turun harga sebab guna formula Tolak 10, Campur 6 ... mengapa sekarang lain pula jadinya !
Kalau pun tak turun harga, asal kekal pada harga sebelum GST pun rakyat pasti masih boleh terima. Bagi rakyat biasanya, kerajaan nak buat apapun buatlah .... asal jangan membebankan mereka.
Bagi menjawab persoalan ini, terdapat tiga penyataan masalah yang harus diteliti.
Pertama, adakah ekonomi Malaysia dan pengguna bersedia untuk menerima pelaksanaan GST itu? Kedua, bilakah masa yang sesuai untuk kerajaan melaksanakan GST? Dan ketiga, adakah GST akan menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi: antara persepsi dan realiti.
Ketiga-tiga masalah ini sepatutnya sudah diperhalusi dalam usaha untuk mengimplimentasi GST secara menyeluruh, malah kajian terperinci harus dilakukan supaya pelaksanaannya mencapai objektif.
Merujuk kepada masalah pertama, adakah ekonomi Malaysia dan pengguna bersedia untuk menerima pelaksanaan GST, kerana ia melibatkan kemampuan ekonomi mereka.
Bagi masalah kedua pula, menyentuh mengenai masa sesuai untuk kerajaan melaksanakan GST, perkara asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuklah penyediaan sistem terancang serta reformasi sikap dalam pengurusan ekonomi dan politik dalam usaha mengurangkan kadar penyelewengan dan rasuah dalam negara yang akan membawa kepada kegagalan pelaksanaan.
Namun dalam tempoh sekarang, tahap ketersampaian maklumat yang lemah menyebabkan kegagalan masyarakat untuk memahami GST secara komprehensif dan membawa kepada kegagalan pelaksanaan kerana ketidakfahaman.
Masalah ketiga pula mengenai adakah GST akan menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi. Realitinya pengenalan GST boleh membawa peningkatan satu masa dalam kos sara hidup, sedangkan pendapatan tidak bertambah.
Walaupun GST dijangka tidak akan mempunyai kesan besar ke atas inflasi, namun GST boleh membawa kepada peningkatan dalam harga pengguna pada peringkat awal pelaksanaannya.
Persoalan besarnya disini, adakah Cukai Perkhidmatan dan Barangan ini akan menjejaskan golongan miskin dan sederhana di Malaysia ini?
Negara yang lebih membangun seperti Singapura mampu menyerap cukai ini kerana pendapatan perkapita rakyat yang lebih tinggi. Walaupun GST sudah diguna pakai di Britain, India, Hong Kong, Jepun dan Singapura, namun ia belum masanya untuk penguatkuasaannya di Malaysia.
Status ekonomi dan cara bagaimana negara tersebut memperoleh pendapatan berbeza dari Malaysia.
Selain itu, Malaysia mestilah terlebih dahulu mencapai status “berpendapatan tinggi” atau high income seperti yang diuar-uar Perdana Menteri. Meningkatkan kadar cukai tanpa meningkatkan pendapatan rakyat hanya membebankan rakyat.
Kerajaan harus memfokus isu kenaikan kos sara hidup dan memperkenal langkah khas untuk membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah bagi mengurangkan kesan buruk GST ke atas mereka.
Tiga masalah ini merupakan suatu perkara yang memerlukan tindakan penyelesaian dalam merealisasi GST sebagai instrumen yang merangsang pendapatan negara.
Kini, antara penyelesaian yang harus difikir dan digerakkan ialah meningkatkan lagi kesedaran dan kefahaman rakyat berkenaan pelaksanaan GST ini, menubuhkan badan bebas dan berkecuali untuk mengkaji kesan menyeluruh terhadap rakyat dan mengkaji tahap penerimaan rakyat terhadap pelaksanaan GST ini dari sudut kesediaan dan kebolehpercayaan.
Secara keseluruhan, walaupun sistem GST ini dianggap baik kerana ia boleh meningkatkan jumlah hasil kerajaan, namun pelaksanaannya memerlukan satu sistem yang dirancang dan dipantau terus-menerus, memandangkan – tanpanya sistem GST yang komprehensif tidak akan tercapai.
No comments:
Post a Comment