Mendengar hebahan pembentukan ‘negara daulah Islamiah’ akan didirikan telah mendorong ramai anak muda dari seluruh dunia ke sana bagaikan magnet. Ini manifestasi gelodak anak muda yang kononnya ingin menjadi seperti Saidina Hamzah, menjadi AhlBadar, ingin mati syahid kerana mati syahid membawa ke syurga.
Daripada 12,000 rakyat asing yang sudah bersama IS, 71 orang adalah
rakyat Malaysia, termasuklah remaja perempuan yang sanggup menjadi
isteri pejuang IS. Kononnya pengorbanan akan membawa mereka ke syurga, manakala sejumlah 10 rakyat Malaysia setakat ini terbunuh di Syria.
Pejuang yang ingin bersama IS ini datang dari merata pelosok dunia. Dari
kepulauan Carribean, Amerika Selatan, rantau Caucasus, Asia Tenggara,
Balkan, China, Indonesia sampai kenegara kita Malaysia dan segenap ceruklah.
Perjuangan di Syria-Iraq satu hal. Satu hal lain pula yang lebih
membimbangkan, setelah bertempur di dua negara Arab itu, mereka ini akan
pulang atau menyusup ke negara asal.
Jaringan penyeludupan manusia ini, yang lebih kritikal daripada
pendatang asing tanpa izin yang dahagakan rezeki, amat berbahaya. Tidak
ada yang akan memeriksa pasport mereka, tiada mesin pengimbas mental
mereka. Tidak ada yang peduli kenapa mereka datang atau pergi. Mereka
akan menggunakan jaringan itu.
Kalau di Amerika Syarikat, penyusup-penyusup ini yang telah mendapat
pengalaman militan di Syria-Iraq menggunakan laluan dari Jamaica,
Trinidad & Tobago, Surinam, Venezuela dan Panama untuk ke Amerika.
IS suatu rangkaian antarabangsa. Mereka tiada sempadan. Mereka mahu
wujudkan wilayah baharu yang diuruskan pemerintah yang benar-benar
berlandaskan acuan Islam.
Atas sebab-sebab inilah amat bertepatan rang undang-undang Akta
Pencegahan Keganasan (POTA) akan dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri,
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di dalam sidang Dewan Rakyat pada
waktu terdekat ini.
Dalam pembentangan itu, pindaan lima rang undang-undang lain termasuk Kanun Keseksaan (Penal Code) juga akan dilakukan.
Rang Undang-undang baharu ini bakal dilengkapi dengan pakej pemulihan
dan pemantauan berterusan bagi kes dalam negeri serta memberi ruang
kepada tahanan mendapatkan keadilan melalui semakan kehakiman.
Sebenarnya Malaysia sendiri ada pengalaman berdepan Al-Maunah atau
Jemaah Islamiah (JI) yang dulunya dianggap kumpulan radikal. Ketika itu
tiada undang-undang pencegahan dan atas sebab itulah pencegahan lebih
baik daripada pengubatan.
Ini kerana undang-undang sedia ada adalah satu tindakan pendakwaan
selepas peristiwa berlaku. Tetapi dalam rang undang-undang baharu ini,
ia satu usaha pencegahan sebelum kes berlaku. Maka, kesungguhan dan keseriusan kerajaan merealisasikan POTA ini cukup penting.
Bukan hanya disebabkan pegangan ideologi tetapi juga kepercayaan
mereka. Apa yang dikhuatiri ialah mereka menggunakan al-Quran, hadis dan
ijmak ulama mengikut tafsiran sendiri berdasarkan acuan cita rasa
mereka yang disesuaikan dengan selera politik. Bukannya taksiran
sebenar, bukan Islam sebenar.
Dalam konteks ini, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) akan menjadi cerminan
kepada pelaksanaan POTA nanti kerana dalam undang-undang itu tidak wujud
kuasa eksekutif. POCA sendiri bukan pengganti Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA).
Ini bermakna kuasa eksekutif dalam POCA sudah dipindahkan kepada badan
pencegahan yang dipengerusikan seorang hakim berpengalaman lebih 15
tahun. Ahli lembaga yang lain adalah pengamal undang-undang
berpengalaman lebih 10 tahun.
Badan inilah yang akan membuat keputusan sama ada seseorang itu perlu ditahan untuk pencegahan, pemulihan atau dibebaskan.
Lembaga Penasihat akan bertindak jika orang yang ditahan itu melantik
peguam, melakukan semakan kehakiman dan membawa kes kepada mereka untuk
melihat keputusan yang dibuat badan pencegahan.
Ini bermakna ada dua tahap keadilan yang dibuat dan berdasarkan
pengalaman menguruskan POCA, daripada tujuh kes yang dikendalikan, enam
daripadanya dilepaskan.
Itulah perbezaan dengan ISA. Tiada pembabitan eksekutif. Tidak akan berlaku penyalahgunaan kuasa.
POTA turut memasukkan soal pemulihan. Ini sebagai jaminan mereka tidak
akan mengulangi perkara sama setelah dibebaskan. Pencegahan perlu
disertakan dengan pemulihan. Malaysia sendiri ada pengalaman menghadapi
zaman darurat, soal tahanan komunis dan pulihkan mereka. Demikian juga
suatu ketika dikejutkan dengan kelibat kumpulan Al-Maunah, JI dan
kumpulan mujahidin Malaysia.
Tempoh penahanan dalam undang-undang baharu ini akan mengikut klausa
tertentu, 30 hari, 60 hari diikuti penahanan dua tahun selepas badan
pencegahan membuat cadangan sama ada dilanjutkan atau dibebaskan selepas
itu.
Jika dibebaskan, masih ada klausa peranti elektronik akan dipasang pada
badan mereka. Pergerakan mereka sentiasa dipantau berterusan. Mereka
tidak terlepas begitu sahaja. Dalam soal ini juga, tiada isu penahanan
mirip ala kem Guantanamo. Guantanamo tiada tempoh tahanan, tetapi POTA
ada tempoh tertentu. Malah, ada badan menjaganya iaitu badan penasihat.
Akta baharu ini kelak tidak hanya fokus kepada IS semata-mata. Tetapi
membabitkan semua kumpulan pengganas. Jika tidak dilakukan pendekatan
holistik, itu bermakna kerajaan lepas tangan kepada pihak yang akan
menggugat keselamatan Malaysia.
Adakah fundamentalisme Islam suatu ancaman kepada kestabilan dunia
Islam dan kepentingan masyarakat Amerika atau Barat di rantau ini?
Tidak kira mitos atau realiti. Memetik kata-kata Ketua Polis Negara, Tan
Sri Khalid Abu Bakar kelmarin, ancaman IS adalah benar, dengan
tangkapan dua individu setelah cuba mengancam beberapa duta Arab di
negara ini.
No comments:
Post a Comment