Wednesday, 1 April 2015

ISIS Bukan Mujahiddin


Terdapat segelintir penyokong ISIS cuba menggambarkan kumpulan ISIS adalah mujahidin Islam seperti HAMAS dan sayap tenteranya Izzuddin al Qassam. Umumnya HAMAS memang diterima dikalangan majoriti umat Islam sebagai pejuang pembebasan yang benar menentang kezaliman Zionis Israel untuk membebaskan Baitul Maqdis dan Palestin. Sejak dikenali dengan bermulanya Intifadah Palestin hampir 30 tahun yang lalu, HAMAS telah membuktikan keteguhan pendirian dan prinsip Islam mereka dalam perjuangan. 2 intifadah ( 1987 dan 2000 ) dan 3 perang yang dipaksakan oleh Israel (2008, 2012 dan 2014) menjadi bukti HAMAS sebagai gerakan rakyat yang mempertahankan hak Palestin pada masa yang sama teguh menuntut pembebasan Masjidil Aqsa bagi pihak umat Islam sedunia. Bahkan hari ini dikalangan bukan Islam juga telah mula menerima HAMAS sebagai perjuangan rakyat Palestin dan bukannya kumpulan pengganas yang cuba digambarkan oleh media Barat dan Israel. Negara Barat juga mula mengakui isu Palestin tidak mungkin diselesaikan tanpa penglibatan HAMAS.

Kedudukan HAMAS yang mula diterima umat Islam sebagai `kayu ukur’ perjuangan Islam menyebabkan segelintir penyokong ISIS cuba menyandarkan kumpulan mereka kepada HAMAS sedangkan keduanya mempunyai jurang perbezaan yang sangat jauh. Titik permulaan dan sejarah perjuangan mereka juga amat berbeza. Walaupun HAMAS hanya dikenali sekitar pertengahan 80an, pembentukan kader-kader HAMAS melalui manhaj tarbiyyah (sistem pendidikan) Ikhwanul Muslimin telah bermula secara teratur sejak awal 1970an. Ketika itu Israel menduduki didalam Gaza dan HAMAS menumpukan kepada pembentukan peribadi-peribadi dan kelompok-kelompok Muslim yang berpegang teguh dengan Islam pada aqidah, ibadah dan akhlak Islam. Fasa kedua bermula dengan Intifadah Pertama pada 1987 dimana rakyat Palestin mula bangkit menyatakan penentangan mereka kepada penjajahan Israel didalam Gaza secara aman – memboikot pentadbiran Israel, tidak membayar cukai, berhenti bekerja dengan majikan Israel, graffiti slogan anti-Israel, menyekat laluan tentera Israel dengan membakar tayar serta membaling batu kepada tentera Israel. Intifadah pertama dan kedua berlaku sehingga Israel tidak dapat lagi bertahan dan membuat keputusan untuk keluar dari Gaza pada 2005.

Pilihanraya demokratik Palestin yang pertama pada 2006 dibawah pengawasan Kesatuan Eropah memberi kemenangan kepada HAMAS di Gaza. Melihat kebangkitan HAMAS sebagai satu ancaman kepada Israel, 3 perang besar-besaran dilancarkan keatas Gaza pada 2008, 2012 dan 2014. Dalam setiap serangan tersebut HAMAS membuktikan mereka mampu mempertahankan Gaza dan memaksa Israel menghentikan serangan. Keteguhan mereka berhadapan dengan tentera Zionis Israel yang diketahui antara yang termoden didunia dan disokong oleh kuasa besar Amerika Syarikat menjadi lagenda perjuangan Islam menentang kezaliman.

Sejarah yang panjang kebangkitan HAMAS bersama rakyat Palestin menjadi bukti kebenaran dan keteguhan mereka dalam perjuangan. HAMAS tidak datang dengan slogan dan syiar yang menarik seperti jihad, negara Islam, Khilafah Islam atau sepertinya tetapi HAMAS membuktikan dengan darah dan nyawa bahawa merekalah yang berada digarisan hadapan mempertahankan bumi dan rakyat Palestin sambil berpegang teguh dengan ajaran alQuran dan akhlak Islam.

Tidak seperti ISIS yang menempa ‘kemasyhuran’ dengan pembunuhan secara kejam terhadap sesiapa sahaja yang menentang mereka samada golongan Islam atau tidak, samada Sunni mahupun Syiah – HAMAS melalui sayap tenteranya Izzudin al Qassam sangat menjaga akhlak dan tertib dalam berperang walaupun terhadap musuh. Senjata mereka jelas ditujukan kepada Zionis Israel sahaja dan mereka bekerjasama dengan kumpulan mujahidin Palestin yang lain – tidak seperti ISIS yang menjadikan kumpulan mujahidin Syria dan Iraq yang tidak bersetuju dengan mereka sebagai musuh yang mesti diperangi dan dibunuh. Peristiwa pembunuhan kejam ISIS terhadap juruterbang Jordan Muath Al-Kassasbeh yang dibakar hidup-hidup dan dipertayangkan kepada dunia tanpa rasa ihsan dan kemanusiaan meletakkan HAMAS dan ISIS ibarat langit dan bumi. Sedangkan tentera Israel Gilad Shalit yang ditawan oleh HAMAS selama 5 tahun dikembalikan kepada Israel tanpa diapa-apakan sebagai ganti pembebasan lebih 1000 tahanan Palestin. Abu Mujahed, jurucakap Izzudin al Qassam menegaskan bahawa Shalit “ ….. tidak diapa-apakan sama sekali. Beliau dilayan dengan akhlak yang diajarkan oleh Islam dalam menjaga tahanan perang.”

No comments:

Post a Comment