Wednesday, 1 April 2015

Perbezaan HAMAS dan ISIS

Satu lagi perbezaan yang jelas diantara tentera HAMAS dan ISIS adalah berhubung keanggotaan di kalangan pejuang asing. ISIS begitu berbangga dengan kejayaannya menarik ratusan jika tidak ribuan pencinta jihad dari seluruh dunia menyertainya. Pintu keanggotaan dibuka luas kepada siapa saja yang ingin `berjihad’ tanpa mengira bangsa, negara asal, latar belakang ataupun persediaan diri.

Berbeza dengan tentera HAMAS yang walaupun telah hampir 20 tahun berperang melawan Israel, tidak kedengaran atau hampir tiada rekrut diambil dari luar Palestin. Tentunya jika HAMAS membuka pintu keanggotaan kepada semua pencinta jihad, ribuan akan menyambutnya dalam sekelip mata kerana perjuangan melawan Zionis amat jelas siapa yang benar siapa yang bathil. Syahidnya tidak diragukan. Tetapi itu tidak berlaku. Yang kita dengar ialah syarat-syarat yang sangat ketat jika ingin menyertai mereka.

Disamping syarat-syarat kemampuan fizikal; syarat-syarat berhubung amalan Islam seperti tidak meninggalkan solat berjamaah, sentiasa berpuasa sunat dan hafazan al Quran menjadi keutamaan. Mereka bukan mencari bilangan yang ramai tetapi mujahid yang berkualiti. Syarat-syarat yang ketat ini juga membantu menjaga kesejahteraan HAMAS dari anasir luar yang mungkin merosakkannya. Sedangkan apabila ISIS membuka luar pintunya kepada sesiapa saja, maka yang menyertai ISIS datang dari pelbagai latar belakang dan dengan pelbagai sebab.

Mungkin ada yang ikhlas tetapi `naif’ datang mencari laluan mudah syahid ke syurga, tidak kurang juga yang datang untuk membalas dendam atas kekejaman Assad, Nouri atau Syiah keatas keluarga mereka, atau pengikut Ba’athis Saddam yang cuba mencari peluang berkuasa semula. Juga tidak dapat ditolak adanya agen-agen provokatier yang sengaja ingin merosakkan imej Islam melalui ISIS samada dari kalangan Syiah, Israel atau agen-agen perisikan barat.

Menurut pendedahan ekslusif Al Arabiya News Channel pada 14 Februari 2014, sekurang-kurangnya 2 orang pemimpin tertinggi ISIS selepas Abu Bakar al Baghdadi adalah bekas tentera di zaman Saddam Hussein. Tentera Saddam terkenal dengan pegangan Ba’ath mereka, memusuhi Islam dan menzalimi rakyat Iraq sendiri samada Sunni mahupun Syiah. Adnan Latif Hamid al-Sweidawi (@ Abu Ayman al Iraqi) yang dipercayai mengetuai Majlis Tentera ISIS adalah adalah bekas kolonel Tentera Iraq dan pegawai perisikan Tentera Udara Iraq. Waleed Jassem al Alwani (@ Abu Ahmad Al Awani) juga bekas komander tentera Iraq dibawah Saddam Hussien dan dipercayai menjadi ahli Majlis Tentera ISIS. Beliau dilaporkan telah terbunuh dalam serangan udara terhadap ISIS pada penghujung 2014. Al Arabiya News Channel pada 19 Disember 2014 pula melaporkan seorang lagi pemimpin tertinggi ISIS yang dipercayai sebagai orang ke 2 ISIS di Iraq, Abu Muslim al Turkmani juga adalah bekas leftenan kolonel di era Saddam.

Kehadiran bekas tentera Saddam memimpin ISIS memberi pencerahan tentang kemampuan strategi ketenteraan ISIS yang membawa kejayaan demi kejayaan pada peringkat awal. Namun kehadiran mereka menimbulkan seribu keraguan tentang matlamat ISIS untuk memperjuangkan Islam apa lagi menubuhkan negara Islam yang benar.

Tidak kurang juga laporan daripada kumpulan mujahidin di Syria bahawa beberapa pemimpin ISIS di Syria adalah bekas pegawai tentera dan perisikan Bashar Assad. Mereka dipercayai bekerjasama dan memberi maklumat kepada tentera Assad untuk menyerang mujahidin Syria.

Ini menjadikan ISIS kumpulan yang bercampur-aduk kepentingannya, matlamat dan tujuan ahlinya, kesatuan kefahaman dan pegangan agamanya. Kecelaruan ini jauh sekali dari menjadikan ISIS sebagai gerakan mujahidin Islam bahkan tindakan kejam dan tanpa akhlak Islam mereka lebih mirip kepada kumpulan pengganas dan gengster dengan matlamat dan kepentingan pribadi dan kumpulan.

Nasim Ahmad dalam artikelnya di Middle East Monitor pada 14 September 2014 menyimpulkan “Asal dan tapak mereka (ISIS dan HAMAS) adalah berbeza. Taktik mereka tidak dapat disamakan dan masa depan mereka tidak mungkin bertemu.”

Percubaan untuk menyamakan ISIS dengan HAMAS juga ditolak oleh kenyataan dan tindakan ISIS sendiri. ISIS tidak mengiktiraf HAMAS sebagai pejuang Islam yang benar bahkan sebahagiannya mengkafirkan HAMAS hanya kerana HAMAS menyertai pilihanraya Palestin yang dianggap oleh ISIS sebagai memperjuangkan ideologi demokrasi.

Fahaman dibawa oleh ISIS tidak menjadikan isu pembebasan Palestin sebagai keutamaan. Bapa asal ISIS, al Qaeda juga tidak menjadikan ini keutamaan. Hampir tiada pendirian yang mereka nyatakan terhadap pembebasan Baitul Madqis atau kekejaman Israel. Mereka lebih mengutamakan `pembersihan’ negara Islam dari pemerintahan yang tidak Islamik, membersihkan rakyat negara Islam dari golongan yang mereka anggap munafik dan murtad dan juga golongan Syiah.

Mereka membawa sandaran Khalifah Abu Bakar as Siddiq mendahulukan penghapusan golongan murtad dan mengembangkan negara Islam dan Salahuddin Al Ayubi menumbangkan kerajaan Syiah sebelum menakluki Baitul Maqdis. Bagi mereka jihad hanya boleh dilaksanakan dibawah panji-panji dan pimpinan yang satu iaitu Khilafah Islam yang mereka istiharkan. Perjuangan HAMAS untuk membebaskan Palestin dan menubuhkan negara Palestin yang berdaulat dianggap bertentangan dengan konsep khilafah Islam mereka dimana tiada batasan negara antara umat Islam melainkan semuanya hendaklah berada dibawah khilafah yang satu.

Pada tahun 2009, sekumpulan penduduk Gaza yang membawa fahaman ini dibawah nama Jund Ansarullah (Tentera Penolong Allah) pimpinan Abdul Latif Moussa @ Abu an Noor al Maqdasi telah mengistiharkan penubuhan “Emirat Islam di Baitul Maqdis” (Al Emirate Al Islamiyah fi Aknaf Baeytul Maqdas). Mereka juga menyamakan kerajaan HAMAS dengan Israel sebagai kerajaan sekular.

Untuk mengelakkan fahaman melampau ini berkembang, polis HAMAS telah mengepung markas mereka di Masjid Ibn Taimiyah di Rafah dan meminta mereka menyerah. Wakil HAMAS yang dihantar untuk berunding, Muhammad Jibril al Shemali telah dibunuh. Pertempuran selepasnya menyebabkan keseluruhan anggota Jund Ansarullah terbunuh. Peristiwa ini menjadi titik hitam hubungan HAMAS dengan golongan pelampau seperti ini.

Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment