SINGAPURA – Akhirnya apa yang dibimbangi bekas perdana menteri
Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu pembatalan jambatan
bengkok menggantikan Tambak Johor benar-benar menjadi kenyataan.
Negarawan Malaysia itu baru-baru ini mengkritik pemimpin sedia ada
kerana enggan meneruskan projek jambatan tersebut yang sebenarnya bagi
memudahkan perjalanan kapal dagang terus ke pelabuhan Johor.
Malah isu itu turut disokong Sultan Johor kerana tambak sekarang
menyebabkan kapal kontena sukar memasuki Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP)
dan Pasir Gudang sebaliknya lebih ‘selesa’ belayar menuju ke Singapura.
Pemandangan sekitar Pelabuhan Tanjung Pelepas dari udara. – Gambar hiasan
Semalam, stesen penyiaran pemerintah Singapura, Channel NewsAsia
‘mengesahkan’ kekhuatiran Dr. Mahathir apabila melaporkan republik itu
bakal membina pelabuhan baharu dan terbesar di Tuas berdepan dengan PTP.
Kerja menambak tanah untuk Terminal Tuas dijangka bermula tidak lama
lagi susulan Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA)
menandatangani secara rasmi kontrak untuk fasa 1 Terminal Tuas pada
Khamis.
Projek bernilai S$2.4 bilion (RM6.7 bilion) itu
termasuk kerja mengorek, pembinaan dermaga dan menambak hampir 300
hektar tanah bersebelahan simpang Laluan Kedua Malaysia-Singapura
(Linkedua) di Tuas.
Terminal Tuas bakal menjadi pelabuhan terbesar di Singapura dan menyaingi PTP di Johor. – Gambar hiasan
Fasa 1 dijangka siap sepenuhnya pada 2020 dan berupaya menguruskan 65
juta kontena setahun, jauh lebih besar daripada 11 terminal lain
antaranya Tanjong Pagar, Keppel, Pasir Panjang, Jurong, Sembawang dan
Brani.
Terminal Tuas apabila siap kelak bakal mengatasi PTP
yang terletak bertentangan dan hanya dipisahkan dengan jarak 3 batu
nautika atau kira-kira 5 kilometer sahaja di sempadan perairan
antarabangsa Selat Johor.
Pemerintah Singapura sebelum itu
dipercayai ‘tidak berpuas hati’ dengan tindakan Malaysia membuka PTP
sejak 1999 yang kini mengendali 6 juta kontena setahun; seumpama sengaja
menjejaskan ekonomi republik tersebut.
Kedudukan Tuas (warna merah) yang akan diperluaskan bagi membina terminal pelabuhan baharu Singapura. – Gambar hiasan
Malah, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pernah mendedahkan
menerusi ucapan sempena Hari Kemerdekaan pada 2013 mengenai keperluan
republik itu membina pelabuhan baharu bagi mengatasi PTP.
Justeru, Tuas dipilih kerana lokasi strategik berdekatan PTP selain ia
boleh menebus guna tanah laut lebih luas berhampiran sempadan perairan
Malaysia di samping jaringan prasarana susur bersebelahan Linkedua.
Namun, kewujudan Terminal Tuas akan mengubah kawasan laut itu sibuk
dengan ratusan kapal besar setiap hari yang boleh mengancam ekologi
habitat Taman Negara Tanjung Piai di Kukup, Pontian. – Agensi
No comments:
Post a Comment