Artikel ini bukan berniat membuat provokasi terhadap warga asing yang datang ke Malaysia atas tujuan baik. Namun bertujuan menyingkap realiti yang berlaku di sebalik alasan ekonomi dan pembangunan negara sehingga kita mengalu-alukan atau membenarkan kedatangan mereka.
Kejadian anggota keselamatan negara terkorban ketika hendak membuat pemeriksaan ke atas sekumpulan warga asing baru-baru ini seharusnya menjadi iktibar kepada kita semua. Insiden ini menunjukkan betapa Malaysia umpama syurga bagi warga asing mencari rezeki sehingga kadang kala mereka terlupa di mana bumi dipijak.
Hal demikian menyebabkan adakalanya budaya tidak baik - seperti membuang sampah merata-rata, gengster, bersosial dan mengganggu ketenteraman penduduk, jenayah, ajaran sesat dan lain-lain - dibawa masuk lalu menyebabkan kesusahan kepada pelbagai pihak.
Bagi pasukan keselamatan dan penguatkuasa, kebanjiran warga asing terutama yang tidak sah bermaksud tugasan semakin berat, kawalan perlu diperketat dan masa bersama keluarga semakin kurang.
Bagi pengamal industri dan pemain dalam pasaran ekonomi, kebanjiran tenaga buruh asing memberi makna kos upah yang rendah, kadar penanggungan buruh yang minimum, kerenah kemanusiaan boleh dikurangkan dan keuntungan yang lebih tinggi.
Bagi pemerintah pula, kemasukan warga asing memberi manfaat kepada ekonomi kerana permintaan tenaga buruh dipenuhi dan pembangunan berskala besar dapat dilakukan dalam jangka masa singkat. Namun, pada masa sama, berhadapan dengan ancaman penyakit termasuk yang telah dapat dicegah atau dikawal sebelum ini, kerugian aliran tunai ke negara asal di samping kos baik pulih kemudahan atau persekitaran yang rosak akibat tindak-tanduk golongan ini.
Mengapakah masyarakat kita yang hampir sama dengan mereka dalam konteks budaya, agama, kedudukan geografi masih belum dapat menandingi kehebatan tenaga buruh asing dalam industri negara?
Jawapan mudah dari segi ekonomi disebabkan kos upah yang rendah. Namun jawapan sebenarnya ialah, kita masih belum bersedia untuk melakukan perubahan dalam pasaran tenaga kerja.
Tidak dinafikan terdapat perbezaan kos upah rakyat tempatan dengan warga asing.
Selain itu, kerja-kerja kotor, berbahaya dan sukar dalam tiga sektor - pembinaan, pembersihan dan perladangan - dilihat sinonim dengan tenaga kerja asing separa mahir. Tenaga kerja tempatan dikatakan tidak berminat dalam ketiga-tiga bidang pekerjaan yang dianggap berkelas rendah. Namun sejauh manakah kebenarannya?
Alasan pekerja tempatan tidak berminat untuk bekerja dengan upah rendah atau dalam sektor-sektor tertentu sebenarnya tidak lagi boleh diterima bulat-bulat.
Jika kita benar-benar jujur mahu mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi, sesuatu perlu dilakukan segera bagi menangani soal sikap tidak minat masyarakat tempatan. Hal demikian kerana hakikat maju itu termasuklah dalam konteks sikap dan cara berfikir terhadap pekerjaan.
Kita perlu menyedari bahawa kemasukan tenaga kerja asing terutama yang separa mahir secara berlebihan mengundang pelbagai ancaman sosial.
Sekarang ini pun 29.4 peratus daripada banduan di Malaysia terdiri daripada warga asing. Sehinggakan kita terpaksa mengakui bahawa kos menanggung hidup mereka di penjara merupakan satu bentuk pembaziran.
Kita masih boleh memperbaiki keadaan ini. Sebagai ahli masyarakat, kita patut mengakui untuk mengatasi lambakan tenaga kerja asing terutama yang separuh mahir memerlukan kerjasama semua pihak termasuklah kita sendiri. Minat kepada sesuatu boleh dipupuk begitu juga dalam konteks pekerjaan. Kerjasama pihak-pihak berkenaan juga boleh dicapai andai kena dengan caranya.
Ini boleh bermula dengan cara kita melihat dan mengendalikan perniagaan dengan berazam untuk menggaji anak tempatan menjadi pembantu dalam urusan perniagaan. Beri mereka peluang dan galakan.
Kita tidak boleh menyamakan warga tempatan seperti buruh asing yang tidak membawa bersama keluarga mereka tinggal di sini.
Kedua, proses penjenamaan semula jenis pekerjaan dalam sektor seperti pembersihan mampu menarik minat warga tempatan untuk menceburinya. Sebagai contoh, perkhidmatan pembantu rumah yang mengikut jam ataupun yang tidak memerlukan tinggal bersama majikan boleh diceburi oleh warga tempatan. Sekali gus mengurang kerenah prosedur pengambilan pembantu rumah asing dan lain-lain.
Ketiga, tiada yang lebih utama melainkan langkah-langkah pengawalan kemasukan tenaga kerja asing yang telus dan penambahbaikan dalam dasar pasaran kerja pada hari ini. Polisi dan dasar pekerjaan yang baik dalam mana-mana sektor pekerjaan mampu menarik minat warga tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Tidak rugi jika kita mengupah rakyat tempatan bekerja. Tidak rugi juga jika kita mengisi kekosongan dalam sektor pekerjaan yang dianggap kotor, berbahaya dan sukar kerana hakikat pekerjaan itu sendiri hanyalah alat kepada punca rezeki yang halal lagi berkat kepada keluarga.
No comments:
Post a Comment