Monday, 4 May 2015

Ghairah Forward - Antara Realiti Dan Fantasi


Bagi anda yang mempunyai applikasi WhatsApp ditelefon bimbit anda, pastinya sejak kebelakangan ini, banyak isu ‘menarik’ yang masuk ke telefon pintar anda itu.
Begitu juga melalui laman sosial lain seperti Facebook dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Hebahan atau ‘maklumat’ itu bukan sahaja datang dalam bentuk teks tetapi juga gambar, video, lagu, kartun, grafik dan macam-macam lagi. Kadang-kadang kreativiti mereka berjaya menjadikan sesuatu isu itu bahan jenaka dan hiburan.

Begitulah kemudahan dalam era teknologi maklumat ini. Semua perkara yang menyentuh isu peribadi, keluarga, pejabat, masyarakat, pemimpin sehinggalah kepada sesebuah kerajaan dapat disebarkan dalam masa yang singkat. Betul atau salah perkara No.2. Tidak dinafikan ada sesetengahnya memang benar, boleh diterima tetapi ada juga umpama `sampah’. Kebenarannya masih boleh dipertikai kerana ia lebih berunsur fitnah, menyebar berita palsu, tanggapan atau persepsi negatif. Itu berkaitan dengan peribadi.

Paling menakutkan ialah berkaitan agama. Ada sesetengahnya menyebarkan sesuatu perkara yang sebenarnya berkait dengan hadis palsu serta khurafat. Bayangkan jika kita tidak pintar untuk menapis kebenaran dan kepalsuan berita atau laporan yang dikirimkan, terus ‘hadam’ semuanya. Biasanya ketaksuban politik menyebabkan seseorang itu akan mudah menerima berbanding mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik akan memikirkannya terlebih dahulu sebelum memberi komen.

Orang yang menyokong satu-satu pihak tentunya pantas memberi reaksi mempertahankan hujah masing-masing. Lebih malang apabila kita menjadi generasi forward, menjadi antara pelapor pertama sampai ke grup yang dianggotai. Akhirnya apabila berita itu palsu, ia bertukar menjadi fitnah. Adakah ketika itu kita sudah menjadi salah seorang penyebar fitnah? Jika orang yang kita fitnah itu mahu mengambil tindakan undang-undang, mungkin masih dikira baik kerana paling tidak kita sudah dihadapkan di ‘mahkamah dunia’, terimalah hukuman dijel atau denda.

Bagaimana pula jika orang yang difitnah itu tidak mahu memaafkan kita atau kita tidak mampu atau tidak sempat meminta maaf ? Apa kata selepas menyebarkan berita palsu, beberapa minit kemudian anda dijemput menemui Ilahi? Memang seronok jika kita menjadi pelapor utama mengenai sesuatu perkara. Orang akan puji dan berterima kasih kepada kita. Jika perkara yang betul, boleh dijadikan panduan atau amalan tentulah boleh dibanggakan tetapi bagaimana pula dengan berita palsu yang boleh mencetuskan kekeliruan, mencemaskan, menimbulkan permusuhan atau persengketaan?

Bagi kita yang mengaku sebagai orang Islam, adakah kata-kata yang dizahirkan dalam bentuk WhatsApp tidak diketahui oleh Allah SWT. Kata-kata kita itu pula dipinjam oleh grup lain dan terus menyebarkannya. Jika ia sesuatu yang baik, mungkin kita akan mendapat ganjaran dan menikmati pahalanya sehingga ke akhir hayat tetapi bagaimana jika perkara tidak baik? Justeru, fikirlah sebelum buat.Baca dulu apa yang kita terima, semak kesahihan dan fakta yang berkaitan. Setelah mendapat kepastian barulah kita sebar dan berkongsi dengan grup atau rakan-rakan lain.

Jika telefon pintar itu lebih pintar kerana teknologiya, manusia pula perlu lebih pintar menganalisis kebenaran dan keburukan perkhabaran yang kita terima. Jangan kita telan dan hadam semuanya. Janganlah disebabkan kemudahan WhatsApp ini kita begitu mudah terjerumus dalam sifat-sifat sombong, dengki, takbur, mengumpat dan menyebar fitnah.

Amat malang sekali, sembang WhatsApp ini telah membuat diri terjerumus dalam fitnah tanpa ditegur oleh rakan-rakan dalam grup kerana bimbang atau tidak yakin teguran itu dapat diterima. Lebih-lebih lagi grup yang mempunyai golongan bergelar ustaz, cerdik pandai dan terpelajar yang sepatutnya lebih layak menegur hanya diam malahan tumpang semangkuk memberi komen tanpa usul periksa berdasarkan andaian dan dengar cakap. Tidak dinafikan sesetengah kiriman itu ada kebenarannya, atau samar-samar. Kiriman itu hanya bertukar menjadi fitnah atau mengumpat akibat komen atau ulasan ibarat ‘nasi tambah’ .

Apakah kita yang menegur ini semuanya baik belaka? Tidak pernah melakukan kesilapan? Tegur dan kritiklah tetapi jangan sampai bertukar menjadi fitnah dan umpat mengumpat. Jagalah lidah dan tangan kita. Awasi tangan daripada mengirim kata-kata yang tidak berfaedah berbentuk mengumpat, memfitnah dan mengaibkan. Ingatlah fitnah boleh menimbulkan permusuhan dan persengketaan. Jangan kita menghalalkan segala perbuatan atas alasan mahu menegur dan mengkritik. Susahnya bagi orang kita, kebanyakannya hanya menyedari yang haram itu sekadar babi dan arak sedangkan banyak perbuatan lain tanpa disedari adalah haram.

No comments:

Post a Comment